Sunday, September 6, 2009

Apabila si Miskin rupanya kaya

4 keluarga tinggalkan Rksk kerana Astro

JASIN 6 Sept. - Empat keluarga miskin yang tinggal di taman perumahan Rumahku Syurgaku (Rksk) di Kampung Tun Abdul Razak di sini bertindak meninggalkan rumah mereka selepas tidak dibenarkan melanggan khidmat televisyen berbayar Astro oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Perkara itu didedahkan oleh isteri Ketua Menteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman yang kesal dengan sikap keluarga terbabit dan beliau juga mempertikaikan kelayakan keluarga berkenaan untuk menerima bantuan tersebut.

Menurutnya, keadaan tersebut menimbulkan rasa curiga dan persoalan mengenai kelayakan penduduk miskin yang dipilih oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk menetap di taman Rksk.

''Sewa rumah yang dikenakan amat murah iaitu RM50 sebulan malah segala kelengkapan perabot disediakan oleh MAIM dan Affin Bank, penduduk hanya membawa badan untuk berpindah ke rumah yang disediakan.

''Namun saya hairan bagaimana empat keluarga ini boleh meminta kebenaran untuk memasang Astro dan setelah dilarang, mereka membuat keputusan berpindah keluar dari Taman RKSK,'' katanya.

Asmah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan baju raya untuk anak- anak yatim, golongan warga emas dan ibu tunggal daerah Jasin anjuran Pergerakan Puteri Bahagian Jasin di Merlimau di sini baru-baru ini.

Taman Rksk yang mula dihuni pada Mei lalu menyediakan 50 unit kediaman namun hanya 46 keluarga miskin dan orang kurang upaya (OKU) dari beberapa penempatan rakyat miskin pengurusan MAIM ditempatkan di taman tersebut.

Taman perumahan rakyat miskin itu dibangunkan di kawasan seluas 4.04 hektar dengan kos projek sebanyak RM3.6 juta iaitu melalui pembiayaan MBMB sebanyak RM2.1 juta dan Affin Bank Berhad menyumbang sebanyak RM1.5 juta.

Kerajaan negeri telah menetapkan syarat bahawa penghuni dibenarkan menetap di taman itu sehingga mereka dilihat mampu berdikari dan memiliki rumah kediaman sendiri.

Selain itu menurut Asmah, rakyat miskin yang terpilih menikmati kemudahan di taman RKSK seharusnya lebih bersyukur dan menghargai kemudahan yang disediakan.

''Saya rasa amat wajar kemudahan rumah ini diberikan kepada keluarga miskin yang benar-benar memerlukan dan layak menikmati kemudahan tersebut,'' katanya.

Kata beliau, golongan miskin dan OKU pada hari ini amat bertuah kerana sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan berpeluang menikmati pelbagai kemudahan bagi membolehkan mereka menampung keperluan hidup.

Berbanding sebelum ini katanya, mereka yang hidup dalam kesusahan terpaksa berdikari dan berusaha meningkatkan taraf hidup sendiri memandangkan kekurangan peruntukan kewangan yang mencukupi dalam program basmi kemiskinan.

dipetik dari
utusanonline

p.s

Macam ini punya worang pun ada ka? dah le miskin berlagak pulak tu. Memang patut mereka keluar dari kawasan itu. Mereka mana ada standard nak duduk rumah macam tu. Sbb mereka kan kaya!.

No comments:

Post a Comment