Sunday, June 28, 2009

Apabila JAIS bertandang: pasangan maksiat terkejut!

Petang itu Malek balik kerja lebih awal daripada biasa. Sampai rumah, Malek Marzoki nama sebenarnya beumur 20 tahun, terus mandi dan bersiap-siap untuk keluar. Maklumlah, 13 Februari, jadi malam ini tentu semua orang yang sedang bercinta seperti dirinya akan menyambut Valentine's Day dengan orang tersayang. Tambahan pula ini adalah cinta pertamanya.

Hari ini Malek berasa terlalu bahagia. Jarum jam terasa begitu lambat berputar. Malek tidak sabar lagi hendak bertemu Linda, kekasih yang baru sebulan dikenalinya. Malek mengenali Linda pun melalui 'chatting' di Internet.

Sejak itu selalulah mereka bergayut di telefon, menghantar gambar melalui e-mel, cuma keluar bersama saja belum kerana tidak bersekempatan. Tapi tanpa disangka, pelawaan ajak-ajak ayam Malek semalam berbaloi.

Mulanya Malek hanya main-main saja, tetapi tidak sangka pula Linda serius. Bak orang mengantuk disorongkan bantal, Malek tidak akan lepaskan peluang tersebut. Itulah yang membuatkan semalaman Malek tidak lena tidur kerana tidak sabar lagi hendak menunggu malam ini.

Akhirnya saat yang dinanti-nantikan pun tiba. Linda kini berada di depan mata. Memang cantik, jauh lebih cantik daripada gambar yang pernah Malek lihat sebelum ini. Malek memberikan Linda sekuntum Ros Merah kepadanya.

Malek berharap, sekurang-kurang biarlah Linda tahu yang dia tidaklah kolot sangat, walaupun seumur hidup Malek tidak pernah melakukannya. Maklumlah, Malek bekas pelajar sekolah agama, sembahyang tidak pernah lalai. Kalau kawan-kawan serumah Malek tahu, memang mereka semua akan terkejut.

Setelah menjamu selera dan menonton wayang, Malek tidak tahu apa lagi yang hendak dibualkan. Hari sudah lewat malam, sejuknya mula terasa. Pada ketika itulah, tiba-tiba timbul niat jahat di hati Malek. Dia cuba menepisnya, tapi darah muda sudah menguasai fikirannya.

Malek berasa rugi pula sekiranya dia menghantar Linda pulang. Lagipun, Linda kelihatan begitu manja dengannya. Senyuman Linda, lirikan mata serta lentok tubuhnya seperti memberitahu dia masih ingin terus bersama Malek. Dia ingin menghabiskan malam Valentine's ini bersama sang kekasihnya.

Seluruh badan Malek terasa bahang. Suatu perasaan panas bagaikan menggeletar dalam urat sarafnya.Cerita-cerita biru yang didengarnya daripada Rahman, kawan serumahnya tentang hubungan asmara dia dengan teman-teman wanitanya, terngiang-ngiang semula di telinga Malek.

Bukan itu saja, Rahman turut menceritakan bagaimana mudahnya dia memperdayakan gadis-gadis, baik yang berpelajaran rendah mahupun penuntut IPT, hingga akhirnya mereka serahkan segala-galanya. Setelah itu, Rahman ceritakan pula taktik-taktik bagaimana hendak meninggalkan gadis-gadis tersebut. Memang ketika mendengar itu malek marah dengan perbuatan Rahman kerana merosakkan gadis-gadis tersebut, tapi malam ini...?

Malek ingat pada dosa, tetapi dia tidak mahu melepaskan keseronokan ini. Dia tidak pernah melalui saat berdua-duaan bersama sang gadis seperti ini. Strategi-strategi yang pernah diceritakan oleh Rahman, bermain-main semula di fikirannya. Tapi...patutkah dilakukannya kepada Linda?

Malek menggigil. Malek teringat pengajian agamanya selama enam tahun di sekolah agama dahulu. Malek masih belum lupa lagi pada firman Allah dalam surah Al-Furqan, ayat 68 yang bermaksud, "Barang siapa melakukan demikian (syirik, membunuh jiwa tanpa hak dan berzina) ia akan diseksa berlipat ganda di akhirat dan dikekalkan azab ke atasnya dalam keadaan amat hina sekali." Begitu juga, bagai terngiang-ngiang lagi suara ustaznya membacakan hadis Nabi yang maksudnya, "Barang siapa berzina atau minum arak, maka Allah mencabut iman dari dadanya seperti orang menanggalkan pakaiannya daripada badan."

Tapi gelodak jiwa mudanya bagaikan api yang sedang marak...

Hendak buat atau tidak? Malek di persimpangan. Ahh, alang-alang mandi biar terus basah. Sekali ini saja. Nanti aku taubatlah, Malek berkata di dalam hati. Linda pula Malek tengok seperti tidak kisah saja bila dia mengusap-usap tangannya. Malah Linda ketawa pula bila lihat muka Malek pucat dan jeri-jemarinya menggigil.

Malek rasa tercabar. Malek terfikir, kalau dia lakukan lebih daripada itu pun, mesti Linda tidak kisah. Antara takut kerana teringatkan ilmu agama yang dipelajarinya serta hangatnya cerita-cerita asmara yang diceritakan oleh Rahman dan kawan-kawannya, Malek pilih yang kedua. Lantas Malek terus mengajak Linda bermalam di rumahnya. Malam ini malam Valentine's, kata Malek. Linda tanpa banyak soal, terus setuju.

Sampai di rumahnya, Malek lihat suasana sunyi sepi. Gelap. Tiada seorang pun kawannya di rumah. Rahman? Ah, dia tentu saja sedang bermalam dengan gadis yang baru diperdayakannya. Malek tidak mahu lepaskan peluang ini! Televisyen dibuka, Malek susun strategi yang pernah diceritakan padanya. Malek tidak mahu gelojoh, nanti malu pula pada Linda. Walaupun nampaknya Linda seperti gadis yang boleh ditinggal-tinggalkan, tapi Malek tidak mahu terburu-buru.

Malam itu, zahirnya mata Malek terpaku di kaca TV, tapi hakikatnya otak Malek sedang menyerewang jauh. Linda pula bukan main manja lagi, sambil menonton kepalanya dilentokkan ke bahu Malek. Apabila sudah mendapat lampu hijau, Malek tidak mahu berdiam diri. Dengan penuh kelelakian. Malek merangkul bahu Linda lalu direbahkan ke ribanya. Dia sudah membayangkan 'sesuatu' yang akan berlaku malam ini, dan....

TOK! TOK!! TOKKK!!!
TOK! TOK!! TOK!!!

Tiba-tiba pintu rumah diketuk dengan kuat. Malek kelam-kabut. Linda yang tadi berbaring di ribaannya, bingkas bangun membetulkan pakaian. Malek terus memperlahankan suara TV untuk memastikan apa yang didengarnya tadi bukanlah sekadar khayalan atau mimpi.

ASSALAMUALAIKUM!
ASSALAMUALAIKUMM!!

Kedengaran pula suara orang memberi salam dari luar. Malek panik. Kalau hendah dikatakan kawan serumahnya balik, mustahil kerana setahu Malek mereka semua ada kunci sendiri. Masuk saja, tidak perlu beri salam. Malek mula tidak tentu arah. Muka Linda berpeluh dan pucat lesi.

"Waalaikumsalam...siapa tu?" jawab Malek memberanikan diri.

"Ini JAIS...boleh tolong buka pintu tak?" jawab suara dari luar.

JAIS??? Apabila terdengar saja jawapan itu, seluruh anggota badan Malek menjadi lemah longlai. Terus Malek terbayangkan wajah ibu bapa dan adik-beradiknya dikampung. Dia juga terbayangkan guru-guru agamanya, solatnya, kitab suci yang selalu dibacanya.

"Habislah aku malam ini," Malek berasa hendak menangis.

Macam-macam perkara bersilih ganti datang dalam fikiran Malek. Selepas ini sudah tentu dia kena naik mahkamah. Silap-silap, masuk surat khabar pula. Ya Allah, kalaulah semua orang tahu perkara ini, manalah Malek hendak letak mukanya. Malu, maluuu!! Tiba-tiba timbul rasa menyesal, kalaulah Malek ingat pada agama, solat dan dosa, sumpah dia takkan bawa Linda balik kerumah.

"JAIS ni! Cepatlah buka pintu ni..!!" suara di luar makin keras.

Linda mula menangis teresak-esak. Linda teringatkan kawan-kawan seasramanya di IPTA. Malek kena lakukan sesuatu untuk menangani masalah ini. Tiba-tiba Malek mendapat satu idea. Pantas dia menarik tangan Linda menuju ke belakang. Malek membuka pintu dapur.

"You lari terus ikut semak tu, sampai you jumpa jalan besar, ambik cab, terus balik rumah. Esok I call you, okey," kata Malek tergagap-gagap.

Tanpa banyak soal, Linda berlari dengan lajunya meredah semak-samun di belakang rumah Malek tanpa memakai kasut. Setelah Linda hilang dari pandangan, Malek memberanikan diri membuka pintu. Alangkah terkejutnya Malek bila terpandang seorang lelaki dengan jaket hitam berdiri di luar.

"Err..encik ke yang ketuk pintu ni tadi? Err..errr..encik ni siapa?" tanya Malek terketar-ketar...

"Haah..lama saya ketuk tadi. Ingatkan abang kat toilet. Nama saya Jais, kawan kepada Rahman, budak serumah abang. Rahman ada kat rumah tak?" tanya pemuda itu semula pada Malek.

"Err...siapa nama kau tadi?" tanya Malek sekali lagi.

"Jais. Jais bin Md. Sood. Kenapa bang?"

"Err...takde apa-apa," jawab Malek perlahan.

Waktu itu malek rasa macam nak cekik-cekik saja leher pemuda bernama Jais itu. Dia ingatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), rupa-rupanya...

dipetik dari:
http://aku-sempoi.blogspot.com/2009/06/kecundang-di-malam-valentine.html

No comments:

Post a Comment